PressReleaseLeader - February 27, 2013 - DANA Global Mendaki (MGF), sebuah amanah saham yang diperkenalkan Mendaki Holdings Pte Ltd (sekarang Sense College Pte Ltd), akan dibubar pada 30 Ogos ini.
Pengurus dana itu, Nikko Asset Management Asia Ltd, berkata langkah tersebut diambil memandangkan saiz dana itu kecil dan, dari segi kos pengurusan, ia tidak mendatangkan keuntungan.
Penutupan dana itu bermakna berakhirlah penceburan Mendaki dalam amanah saham setelah Amanah Saham Mendaki (ASM), dana amanah saham Islam pertama di sini, ditutup pada 2002.
Ketika dilancarkan pada September 1997, MGF ditawarkan pada harga $1 seunit, tetapi kelmarin ia tutup pada harga 92.8 sen.
Sehingga 31 Januari lalu, dana itu mempunyai 551 pemegang unit dengan saiz dana sebanyak $1.955 juta.
Daripada jumlah itu, 59 peratus dilabur para pelabur menggunakan Dana Pelaburan Tabung Simpanan Pekerja (CPFIS).
Saiz dana itu mencapai paras tertinggi $6 juta pada 31 Disember 1999.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Moliah Hashim, berkata pembubaran dana itu selaras dengan peralihan tumpuan badan tersebut pada bidang pendidikan, sejajar dengan penukaran nama Mendaki Holdings Pte Ltd kepada Sense College Pte Ltd.
"MGF dibentuk di bawah Mendaki Holdings pada 1997 kerana pada masa itu terdapat pemikiran mengenai perlunya kami menyediakan wadah pelaburan bagi menikmati kenaikan modal jangka sederhana hingga panjang dalam ekuiti disenaraikan yang sejajar dengan prinsip Islam.
"Kami telah mengharungi perubahan sejak 1997, dan tumpuan utama kami sekarang ialah pada bidang pendidikan. Mendaki Holdings juga telah diubah menjadi Sense College agar kami dapat menumpukan perhatian pada bidang pendidikan.
"Keputusan menutup dana itu diambil kerana dana itu tidak lagi optimum dan saiz asetnya yang rendah amat menyukarkan dana tersebut meraih pulangan lebih tinggi. Hasil perbincangan dengan pengurus dana, langkah positif yang boleh kami ambil ialah dengan menutup dana itu,'' jelas Cik Moliah dalam satu taklimat akhbar semalam.
Beliau selanjutnya berkata ketika dana itu dilancarkan, tidak banyak pelaburan dalam dana berlandaskan syariah terdapat dalam pasaran.
Ketika dilancarkan dulu, MGF menetapkan matlamat menarik pelaburan $20 juta dan dana itu diurus oleh DBS Asset Management sehingga firma itu dijual kepada Nikko Asset Management Asia Ltd pada akhir 2010.
Menurut Ketua Pembangunan Produk dan Pengurusan Nikko, Encik Phillip Yeo, dana itu memberi pulangan 0.53 peratus dalam tempoh tiga tahun sehingga 31 Januari lalu.
Tetapi ia meraih pulangan negatif 2.29 peratus bagi tempoh lima tahun dan -0.06 peratus sejak diperkenal.E
Dengan pembubaran dana itu, pelabur MGF mempunyai tiga pilihan.
Pertama, mereka boleh mengalihkan dana itu kepada dana-dana lain yang diuruskan Nikko dari sekarang hingga 16 Ogos.
Khidmat peralihan dana itu percuma.
Sekiranya dana MGF itu dilabur menggunakan CPF, pelabur dibenarkan melabur dalam tiga dana CPFIS yang diurus Nikko.
Kedua, pelabur boleh menjual dana itu berdasarkan harga pasaran sebelum 16 Ogos.
Pilihan ketiga ialah pelabur membiarkan sahaja pelaburan mereka sehingga dana itu dibubar.
Segala pelaburan dana itu akan dijual dan keuntungan bersih daripada penjualan dana itu akan diagih kepada pemegang dana setelah mengambil kira segala kos.
Bagi pelabur yang melabur menggunakan CPF, hasil bersih dana akan dimasukkan kembali ke dalam akaun CPF mereka.
Pemegang unit MGF akan diberitahu mengenai pilihan-pilihan itu melalui surat yang akan dihantar kepada mereka dalam beberapa hari ini.
News Source: http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/dana-global-mendaki-akan-dibubar

|
Sydney Hardison Media Relations 441 Santaluz Path
Austin, TX 78732 208-585-7344 |